Tuesday, July 7, 2015
IHYA RAMADHAN DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR; JAULAH JABATAN AMAL NEGERI SELANGOR KE BUMI SERAMBI MEKAH
Disediakan oleh: M Shehdi Hazrik,
Timb Pengarah Jabatan Amal Negeri Selangor / Komander Amal Serdang
04.07.2015 Kuala Krai - Program Ihya Ramadan Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor mengakhiri program yang terakhirnya dengan program Jaulah Amal Selangor ke Bumi Serambi Mekah pada 04 dan 05 Julai 2015.
Program ini telah disusun dan dikendalikan sepenuhnya oleh Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah Jabatan Amal Negeri Selangor yang dipimpin oleh Pengarah Amal Negeri Selangor merangkap Naib Ketua Pemuda DPPNS Tuan Ustaz Hanafi Zulkapli yang juga selaku pengarah program dengan kerjasama Dewan Pemuda Pemuda PAS Negeri Kelantan.
Program yang bermula dengan pelepasan konvoi oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor YB Dato Ir Iskandar Abd Samad di Petronas Gombak pada tepat 11 malam 3 Julai 2015 menyaksikan penyertaan melebihi 100 anggota Jabatan Amal seluruh kawasan di dalam Negeri Selangor.
Perjalanan malam tersebut mengambil masa 5 jam untuk peserta sampai ke Markas PAS Gua Musang iaitu tempat destinasi pertama konvoi untuk berehat dan berkumpul kesemua peserta Jaulah dimana ada yang bergerak berasingan sebelum itu dari kawasan masing-masing. Sesampainya disana peserta Jaulah diraikan oleh Pemuda PAS kawasan serta AJK Pas Kawasan Gua Musang yang menyambut kami dengan jamuan sahur yang menyelerakan sebelum peserta bersolat subuh berjemaah.
Selesai solat subuh, Ustaz Syarhan Humaizi Abd Halim, Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor telah diberi penghormatan oleh kariah masjid untuk menyampaikan Kuliah Subuh di Masjid Bandar Gua Musang. Semasa kuliah beliau menyentuh tentang kelebihan bulan Ramadhan serta sirah perjuangan semasa bulan Ramadhan terutama dalam memberikan penekanan terhadap prinsip dan peranan pemuda dengan mengambil contoh kisah Ashabul Kahfi dan kisah peperangan Badar di zaman Rasullulah Sallallahu alaihi wasallam untuk dicontohi oleh pemuda masa kini.
Seterusnya perjalanan Jaulah diteruskan dengan 27 kenderaan pelbagai jenis menuju ke Bandar Kuala Krai secara konvoi. Kali ini pergerakan lebih teratur kerana kesemua peserta bergerak bersama menuju ke Bandar Kuala Krai dimana hampir keseluruhan penduduk Kuala Krai menjadi mangsa banjir.
Peserta jaulah tiba di Markas PAS Kg jalan Geale, Kuala Krai pada jam 10.30 pagi 5 Julai 2015. Setibanya di sana peserta disambut oleh saudara Nazman Exco Pemuda PAS Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Task Force Pemuda Kelantan. Selepas perbincangan gerak kerja bersama dibuat peserta terus diberikan taklimat dan pembahagian kepada 6 kumpulan berdasarkan tugas yang diberikan iaitu Penghantaran dan Agihan, Memasak Bubur Lambuk, Memasak jamuan Iftar, pembungkusan barangan sumbangan dan bubur lambuk, ziarah dan pemeriksaan kesihatan (Medik) dan akhir sekali Tugas-tugas khas. Seluruh jentera kami telah dibantu oleh wakil pemuda dan AJK PAS Kawasan kuala krai.
Program dimulakan dengan ziarah kebajikan dan Pemeriksaan kesihatan oleh pasukan Medik Amal Selangor dan manakala para petugas yang lain menjalankan tugas masing-masing dengan penuh didikasi sehingga selesai tugas mereka menjelang asar.
Selepas solat Asar Program bersambung pengagihan bubur lambuk Bubur di Bazar Ramadhan Taman Sri Guchil, Rumah Kontena PEKA, Khemah Kg Pahi dan Masjid Abim.
Pada jam 6 petang program jaulah diteruskan dengan Majlis Penyampaian wang dan barangan sumbangan kepada mangsa banjir kepada 155 penerima dan 50 orang cikgu-cikgu pasti. Turut hadir meraikan majlis ialah Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai dan AJK PAS kawasan Kuala krai.
Selesai majlis, program diteruskan dengan majlis Iftar perdana bersama mangsa banjir. Menurut Sdr Nazman penerima sumbangan tersebut adalah penduduk mangsa banjir di sekitar kampung Landak, Kampung Tualang, Cenis, Bekok, Jalan Geale, Kampung Guchil, Kampung tengah, Kampung Gatal, Kampunh Siam dan Bandar Kuala Krai. Beliau juga memaklumkan terdapat beberapa NGO lagi juga turun membantu mangsa banjir dan telah ditempatkan di beberapa tempat sekitar Jajahan Kuala Krai melalui pengurusan Taskforce beliau.
Menurut Pengarah Program Jaulah Amal DPPN Selangor, Ustaz Hanafi
Terdapat respond yang amat baik dari penduduk kampung dimana mereka sangat berterima kasih kepada ahli dan Pemuda PAS Negeri Selangor khususnya Pasukan Jabatan Amal Negeri Selangor kerana tidak putus-putus memberikan sumbangan tenaga, harta dan wang ringgit bagi membantu mangsa banjir Negeri Kelantan semenjak hari pertama air banjir surut lagi.
Keseluruhan program berjalan dengan baik dan lancar, Insya Allah akan diadakan lagi beberapa misi selepas Ramadhan ini terutama misi menyediakan rumah kekal kepada mangsa banjir yang kemusnahan rumah.
Program Jaulah Amal Pemuda PAS Negeri Selangor kali ini telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM32ribu serta sumbangan-sumbangan lain seperti beras, minyak dan sebagainya hanya dalam 1 minggu daripada orang awam seluruh kawasan di Negeri Selangor.
Akhirnya pihak penganjur ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang kewangan, barang, tenaga dan masa samada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, tuan rumah Pemuda PAS Negeri Kelantan dan PAS kawasan Kuala Krai serta Gua Musang.
Semoga sedikit amalan ini akan diganjari oleh Allah swt dan diberikan kemudahan untuk terus menjalankan aktiviti mendekatkan masyarakat dengan Islam dan membantu saudara yang memerlukan.
Pihak pelaksana Ihya Ramadhan DPPN Selangor masih membuka tawaran untuk sumbangan bagi menampung kos dan agihan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Bantuan boleh disalurkan melalui akaun DPPNS no akaun 564799120668 Maybank atau hubungi Ustaz Razali Saari Bendahari DPPN Selangor ditalian 019- 213 5309.
Sekian.
#LuaskanAmalMu
#BeramalKeranaAllah
#IstiqomahMenujuKejayaan
#JabatanAmalNegeriSelangor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment