Tuesday, July 7, 2015

APA TUJUAN MASUK PAS?

Bismillahirrahmaanirrahim

Orang yang menyertai PAS perlu faham tujuan sebenar perjuangan PAS. Boleh buka perlembagaan yang ada. Apa yang termaktub adalah:

"Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah

Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara."

Tetapi ada yang masuk PAS dengan berbagai tujuan lain. Ada yang masuk kerana ketokohan seseorang. Ada yang masuk kerana benci kerajaan. Ada yang pilih PAS kerana peluang berniaga, tidak kurang juga yang mahukan pengaruh. Ada juga sertai PAS sebab ikut kawan. Semestinya ada juga yang masuk sebagai agen musuh untuk melihat PAS runtuh.

Semua tujuan yang lain dari maksud apa yang termaktub dalam perlembagaan tidak akan mampu istiqamah hingga kemenangan. Sedar atau tidak, tapisan Allah sedang dan akan terus berjalan sehingga hari kiamat. Sesi dahulu adalah tapisan, sesi ini juga tapisan, sesi akan datang terus ditapis!

Mereka yang masuk PAS kerana taajub dengan seseorang, sudah pasti berundur bila Fadzil Noor atau TG Nik Aziz meninggal.

Yang masuk PAS sebab benci kerajaan, sudah pasti meluat bila kerajaan beri kerjasama kepada PAS.

Yang memilih PAS untuk keuntungan peribadi, tidak teragak untuk tinggalkan PAS apabila difitnah teruk.

Yang mahu pengaruh, akan cari wadah lain jika gagal melebarkan pengaruh.

Yang ikut kawan, juga akan keluar jika kawan itu keluar.

Yang memang mahu PAS runtuh, mustahil akan duduk lagi setelah paku-paku dan skru dicabut satu persatu.

Mereka yang teguh dengan tujuan PAS tidak akan lari selagi tujuan itu tidak lari.
Tidak keluar walaupun tokoh sanjungan mereka cabut lari.
Tetap setia walau kawan jadi lawan atau lawan jadi kawan.
Tidak berganjak walau PAS tidak lagi popular. Masih tenang walau tidak diberi mandat.
Terus semangat walau orang sekeliling tinggalkan PAS.
Dan akan semakin kuat berpaut apabila melihat ada munafiq yang sedang mengkhianati PAS.

Namun berjagalah. Kadang-kadang tujuan asal boleh berubah di pertengahan jalan. Yang asal pilih kerana Allah mungkin akan tergelincir setelah ditabur kenikmatan jawatan dan kemewahan. Yang asal pilih kerana benci kerajaan juga boleh berubah setelah mengenali Islam dan mengikuti pengisian tarbiyah.

Tepuk dada, tanyalah iman. Apa matlamat sebenar kita bersama PAS?
Jangan tuding pada orang lain. Empat jari yang berbaki masih terarah pada diri sendiri.

IHYA RAMADHAN DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR; JAULAH JABATAN AMAL NEGERI SELANGOR KE BUMI SERAMBI MEKAH


Disediakan oleh: M Shehdi Hazrik,
Timb Pengarah Jabatan Amal Negeri Selangor / Komander Amal Serdang

04.07.2015 Kuala Krai - Program Ihya Ramadan Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor mengakhiri program yang terakhirnya dengan program Jaulah Amal Selangor ke Bumi Serambi Mekah pada 04 dan 05 Julai 2015.

Program ini telah disusun dan dikendalikan sepenuhnya oleh Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah Jabatan Amal Negeri Selangor yang dipimpin oleh Pengarah Amal Negeri Selangor merangkap Naib Ketua Pemuda DPPNS Tuan Ustaz Hanafi Zulkapli yang juga selaku pengarah program dengan kerjasama Dewan Pemuda Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Program yang bermula dengan pelepasan konvoi oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor YB Dato Ir Iskandar Abd Samad di Petronas Gombak pada tepat 11 malam 3 Julai 2015 menyaksikan penyertaan melebihi 100 anggota Jabatan Amal seluruh kawasan di dalam Negeri Selangor.

Perjalanan malam tersebut mengambil masa 5 jam untuk peserta sampai ke Markas PAS Gua Musang iaitu tempat destinasi pertama konvoi untuk berehat dan berkumpul kesemua peserta Jaulah dimana ada yang bergerak berasingan sebelum itu dari kawasan masing-masing. Sesampainya disana peserta Jaulah diraikan oleh Pemuda PAS kawasan serta AJK Pas Kawasan Gua Musang yang menyambut kami dengan jamuan sahur yang menyelerakan sebelum peserta bersolat subuh berjemaah.

Selesai solat subuh, Ustaz Syarhan Humaizi Abd Halim, Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor telah diberi penghormatan oleh kariah masjid untuk menyampaikan Kuliah Subuh di Masjid Bandar Gua Musang. Semasa kuliah beliau menyentuh tentang kelebihan bulan Ramadhan serta sirah perjuangan semasa bulan Ramadhan terutama dalam memberikan penekanan terhadap prinsip dan peranan pemuda dengan mengambil contoh kisah Ashabul Kahfi dan kisah  peperangan Badar di zaman Rasullulah Sallallahu alaihi wasallam untuk dicontohi oleh pemuda masa kini.

Seterusnya perjalanan Jaulah diteruskan dengan 27 kenderaan pelbagai jenis menuju ke Bandar Kuala Krai secara konvoi. Kali ini pergerakan lebih teratur kerana kesemua peserta bergerak bersama menuju ke Bandar Kuala Krai dimana hampir keseluruhan penduduk Kuala Krai menjadi mangsa banjir.

Peserta jaulah tiba di Markas PAS Kg jalan Geale, Kuala Krai pada jam 10.30 pagi 5 Julai 2015. Setibanya di sana peserta disambut oleh saudara Nazman Exco Pemuda PAS Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Task Force Pemuda Kelantan. Selepas perbincangan gerak kerja bersama dibuat peserta terus diberikan taklimat dan pembahagian kepada 6 kumpulan berdasarkan tugas yang diberikan iaitu Penghantaran dan Agihan, Memasak Bubur Lambuk, Memasak jamuan Iftar, pembungkusan barangan sumbangan dan bubur lambuk, ziarah dan pemeriksaan kesihatan (Medik) dan akhir sekali Tugas-tugas khas. Seluruh jentera kami telah dibantu oleh wakil pemuda dan AJK PAS Kawasan kuala krai.

Program dimulakan dengan ziarah kebajikan dan Pemeriksaan kesihatan oleh pasukan Medik Amal Selangor dan manakala para petugas yang lain menjalankan tugas masing-masing dengan penuh didikasi sehingga selesai tugas mereka menjelang asar.

Selepas solat Asar Program bersambung pengagihan bubur lambuk Bubur di Bazar Ramadhan Taman Sri Guchil, Rumah Kontena PEKA, Khemah Kg Pahi dan Masjid Abim.

Pada jam 6 petang program jaulah diteruskan dengan Majlis Penyampaian wang dan barangan sumbangan kepada mangsa banjir kepada 155 penerima dan 50 orang cikgu-cikgu pasti. Turut hadir meraikan majlis ialah Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai dan AJK PAS kawasan Kuala krai.

Selesai majlis, program diteruskan dengan majlis Iftar perdana bersama mangsa banjir. Menurut Sdr Nazman penerima sumbangan tersebut adalah penduduk mangsa banjir di sekitar kampung Landak, Kampung Tualang, Cenis, Bekok, Jalan Geale, Kampung Guchil, Kampung tengah, Kampung Gatal, Kampunh Siam dan Bandar Kuala Krai. Beliau juga memaklumkan terdapat  beberapa NGO lagi juga turun membantu mangsa banjir dan telah ditempatkan di beberapa tempat sekitar Jajahan Kuala Krai melalui pengurusan Taskforce beliau.

Menurut Pengarah Program Jaulah Amal DPPN Selangor, Ustaz Hanafi
Terdapat respond yang amat baik dari penduduk kampung dimana mereka sangat berterima kasih kepada ahli dan Pemuda PAS Negeri Selangor khususnya Pasukan Jabatan Amal Negeri Selangor kerana tidak putus-putus memberikan sumbangan tenaga, harta dan wang ringgit bagi membantu mangsa banjir Negeri Kelantan semenjak hari pertama air banjir surut lagi.

Keseluruhan program berjalan dengan baik dan lancar, Insya Allah akan diadakan lagi beberapa misi selepas Ramadhan ini terutama misi menyediakan rumah kekal kepada mangsa banjir yang kemusnahan rumah.

Program Jaulah Amal Pemuda PAS Negeri Selangor kali ini telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM32ribu serta sumbangan-sumbangan lain seperti beras, minyak dan sebagainya hanya dalam 1 minggu daripada orang awam seluruh kawasan di Negeri Selangor.

Akhirnya pihak penganjur ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang kewangan, barang, tenaga dan masa samada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, tuan rumah  Pemuda PAS Negeri Kelantan dan PAS kawasan Kuala Krai serta Gua Musang.

Semoga sedikit amalan ini akan diganjari oleh Allah swt dan diberikan kemudahan untuk terus menjalankan aktiviti mendekatkan masyarakat dengan Islam dan membantu saudara yang memerlukan.

Pihak pelaksana Ihya Ramadhan DPPN Selangor masih membuka tawaran untuk sumbangan bagi menampung kos dan agihan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Bantuan boleh disalurkan melalui akaun DPPNS no akaun 564799120668 Maybank atau hubungi Ustaz Razali Saari Bendahari DPPN Selangor ditalian 019- 213 5309.

Sekian.
#LuaskanAmalMu
#BeramalKeranaAllah
#IstiqomahMenujuKejayaan
#JabatanAmalNegeriSelangor

KENAIKAN MINYAK BOLEH DIELAKAN JIKA ADA KEMAHUAN

Bismillahirrahmaanirrahim

Desakan PAS terhadap kerajaan untuk menurunkan harga minyak menjelang perayaan Aidilfitri ini ada asasnya kerana harga minyak di Malaysia secara langsung dikawal penuh oleh kerajaan sendiri melalui cukai dan subsidi.

Hujah saya begini, sunguhpun Malaysia adalah pengeluar minyak, namun Malaysia juga mengimport minyak bagi kegunaan domestik. Ini kerana minyak mentah yang ada di negara kita adalah minyak yang mempunyai kualiti tinggi dan ia dijual dgn harga yang lebih tinggi dari harga biasa minyak mentah Negara lain, dan ini belum dikira ada sebahgiannya dijual selepas diproses di dalam negeri. Lebih lagi fakta menunjukan jumlah berel import minyak mentah Malaysia masih jauh dibawah jumlah exsport minyak mentah. Ini menunjukan Malaysia masih lagi pengeluar minyak terbesar di asia tenggara di mana keuntungan hasil jualan tersebut tinggi dan sepatutnya digunakan oleh kerajaan utk membeli minyak mentah dan diberi secara percuma atau pada kadar 50sen ke 80sen pada rakyat setelah kos dan peratus keuntungan Petronas di ambil kira. Namun ia hanyalah teori penulis yang melihat melalui konsep kerajaan Islam, dimana Islam mengariskan bahawa sumber galian ini adalah hak milik Allah dan hasilnya keuntungannya wajib diberikan pada rakyat bukan pada mana-mana individu sehingga menjerut mereka. Apapun ia tidak mustahil jika suatu masa nanti Parti Islam yang memerintah Negara ini.

Apapun realitinya, harga minyak ini boleh berubah di Malaysia adalah melalui mekanisma nilai cukai kerajaan dan subsidi di samping kesan nilai matawang RM yang menjadi pendorong kenaikan dan penurunan harga minyak di Malaysia. Adapun mata wang Ringgit Malaysia sekarang jatuh ke tahap rendah sehingga RM3.77 bagi setiap 1USD dan ia boleh jadi merupakan antara faktor kenaikan harga minyak di Malaysia. Namun jika dinilai kembali dengan harga minyak dunia semasa, ia masih jauh murah kerana harga minyak mentah yang belum diproses (crude oil)  sekarang pada tahap USD56.93/barrel dan jika kita ambil harga minyak yang sudah diproses (refined oil) terkini pada harga USD60.40 pada bulan May 2015 (rujuk pada http://www.platts.com/commodity/oil) maka bila ditukar pada RM nilainya ialah RM227.71 iaitu bersamaan RM1.43 bagi setiap litter. Namun harga ini belum termasuk harga kos operasi dan keuntungan syarikat pengeluar serta syarikat setesen minyak yang ditentukan melalui satu sistem yang dipanggil `Automatic Pricing Mechanism’ (APM).

Sebagai contoh, jika kita mengambil harga Alpha parameter yang telah di tetapkan  (RM0.05/ltr), caj yang dikenakan untuk memproses minyak (RM0.05/ltr) yang sepatutnya tidak banyak berubah manakala caj perkhidmatan operasi (0.0954/ltr) serta keuntungan tetap syarikat (RM0.05/ltr) dan stesen minyak (RM0.1219/ltr). Kesemua jumlah ini caj di atas adalah sebelum cukai dan subsidi adalah RM 1.75.

Namun disebalik harga di atas kita juga ada subsidi dan cukai dan jumlah cukai yang dikenakan sekarang adalah pada kadar 40sen ke 58.62sen per litter maksimum. Andaikata kita ambil cukai maksima iaitu 58.62sen maka kiraan harga minyak setiap liter adalah pada kadar RM2.33 dimana ia belum lagi tolak dengan jumlah subsidi yang wajib dibayar oleh kerajaan. Walaibagaimanapun, ini dalah andaian maksimum cukai yang paling tinggi tanpa subsidi.

Kita boleh bayangkan jika pimpinan kerajaan mempunyai keinginan untuk membantu rakyat dan beriltizam meringankan beban rakyat yang sedia terbeban dengan GST maka tidak ada masalahnya sekiranya kerajaan menurunkan sedikit cukai ke tahap 40sen iaitu bersamaan RM2.15/liter (bersamaan dengan harga minyak Ron 95 sekarang) dan ditambah pemberian subsidi sebanyak 40sen. Jika ia dapat dilakukan maka harga minyak boleh diturunkan kepada RM1.75 malah lebih lagi jika jumlah subsidi meningkat.

Walaubagaimanapun ia hanyalah anggaran dan analisa penulis sahaja dan jika ianya bertepatan maka adalah amat malang sekali kita mempunyai kerajaan yang tidak langsung dapat melihat dan memikirkan kesengsaraan rakyat yang sekarang menangung bebanan GST dan kenaikan harga barang menjelang aidilfitri. Jika kita ada kemahuan untuk melakukan kebaikan sudah pasti ada jalannya melainkan Allah jua yang menutup hati-hati mereka dalam membuat kebaikan.

Walahualam

M Shehdi Hazrik
Komander Amal Serdang
Ketua Pegawai Kewangan
Jabatan Amal Malaysia

Wednesday, June 17, 2015

Perutusan Ramadan Jabatan Amal Serdang

Bismillahirrahmaanirrahim

Bulan Ramadan adalah bulan Pesta Ibadah. Mengambil 'ibrah sejarah lampau umat Islam mereka berperang dan membuka kota seperti Kostantinopel pada bulan Ramadan. Semua ini mengajar kita bahawa para pejuang Islam mengambil setiap peluang ibadah agar pahala mereka berlipat kali ganda di bulan yang mulia ini.

Selain itu, sejarah umat Islam mengajar kita tentang keluasan ibadah di dalam Islam. Ibadah di bulan Ramadan bukan hanya tarawih dan membaca alQuran malah dalam bentuk fizikal seperti jihad dan menegakkan agama Islam.

Akhir kata, kami di pihak Jabatan Amal Serdang suka mengambil peluang ini menyeru sahabat-sahabat amilin di kalangan anggota amal dan para muslimin untuk sama-sama bersemangat memanfaatkan semaksima mungkin Bulan Ramadan sebagai Bulan Pesta Ibadah. Pihak Jabatan Amal ingin mengambil peluang ini memohon ampun dan maaf andai ada khilafan dan kekurangan sepanjang melaksanakan amanah perjuangan ini.

Wallahu ta'ala a'lam
17 Jun 2015,
Jabatan Amal Serdang,

#BeramalKeranaAllah

Sunday, May 24, 2015

Bantahan Hukuman Mati Dr Morsi

Kuala Lumpur - 22 Mei 2015, menyaksikan satu perhimpunan bagi membantah hukuman mati keatas Dr Morsi, bekas Presiden Mesir yang digulingkan.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh PAS ini disertai oleh ratusan peserta yang turut mengiringi pimpinan bagi menyampaikan memorandum bantahan.

Para peserta bermula dengan Solat Jumaat di Hotel De Palma Ampang. Sejurus kemudian mereka berarak sekitar 1km menuju ke kedutaan Mesir.

Difahamkan tiada wakil dari pihak kedutaan Mesir menerima memorandum tersebut. Amal Serdang dengan kekuatan 4 orang turut sama dengan Amal kawasan yang lain memastikan program dan peserta berada dalam keadaan baik. Sehingga tamat program, tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

#BeramalKeranaAllah.

Jamuan Meraikan Petugas AGM Kawasan Serdang

Bangi - Jumaat yang lepas tanggal 22 Mei, Pas kawasan Serdang telah mengadakan jamuan bagi meraikan petugas-petugas yang menjayakan AGM ke-31 bagi kawasan Serdang.

Sehubungan itu, anggota amal dijemput bagi menjayakan majlis sambutan tersebut, ahli Amal antara yang bertugas di banyak seksyen pada hari AGM antaranya bahagian perbarisan, parkir, pengundian dan banyak lagi, mereka telah memberi komitmen yang terbaik.

Amal Serdang mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang berwajib menjayakan majlis ini. Seeru ala barakatillah.

#BeramalKeranaAllah

Saturday, May 16, 2015

Demo Tabung Haji

15 Mei yang lalu, satu demo menyerah memorandum kepada pihak pengurusan Tabung Haji selepas solat Jumaat. Beberapa ahli Jabatan Amal Serdang telah mengikuti demo tersebut.

Demo berjalan dengan aman dan pihak Tabung Haji dengan terbuka turun menerima memorandum daripada pihak penganjur. Tahniah Jabatan Amal Serdang.

Wallahu ta'ala a'lam

#TerusBeristiqomah
#LuaskanAmalMu
#BeramalKeranaAllah