http://www.ismaweb.net/2014/12/perkaumkan-masjid-shafie-ngah-keliru-fakta/
Masjid Berasaskan Reka Bentuk Cina -ISMA yang keliru
Kenyataan Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abd. Rahman terhadap cadangan yang dikemukakan oleh ADUN Bangi, YB Ustaz Shafie Ngah untuk mendirikan sebuah Masjid di negeri Selangor dengan reka bentuk bercirikan identiti budaya masyarakat Cina boleh menimbulkan kekeliruan dikalangan masyarakat dan ianya juga menunjukkan sikap perkauman yang tebal dalam pertubuhan tersebut.
Fakta yang dihidangkan dalam kenyataan Presiden ISMA pula tidak benar kerana Malaysia bukan sahaja mempunyai banyak masjid dan surau bercirikan seni bina rumah masyarakat Melayu malahan sudah ada masjid dan surau dibina dengan bercirikan identiti bangsa lain terutama bangsa India dan Cina. Ditambah lagi sudah ada masjid sebegini yang mendapat perkenan daripada Raja Muda atau Sultan Negeri bagi membina dan merasmikannya (seperti Masjid Muhammadiah, Ipoh dan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Kelantan).
Di antara masjid tertua di Tanah Melayu adalah masjid Kampung Hulu. Masjid yang dibangunkan pada tahun 1728 semasa pendudukan Belanda ini merupakan masjid tertua di negara ini yang mempunyai cantuman seni bina Sumatra, Hindu dan Barat. Seterusnya Masjid Tengkera dan Masjid Tanjung Kling di Melaka yang sekali pandang berbentuk seperti bangunan tokong. Ini semua melambangkan sejarah ketamadunan Islam di Tanah Melayu ini yang membuktikan agama Islam itu sendiri telah menyatukan seluruh bangsa dan mencorak ketamadunan masyarakat Islam di rantau ini.
Kenyataan Presiden ISMA bahawa akan wujud jurang pemisah dalam kalangan umat Islam jika mereka dipisahkan kepada masjid Melayu, masjid Cina dan masjid India adalah kenyataan tidak berasas sama sekali. Ini adalah kerana Masjid merupakan tempat awam di mana masyarakat Islam tidak kira bangsa melakukan aktiviti ibadah dan kegiatan agama mereka. Tiada istilah pengasingan kaum dalam penggunaan masjid. Apa yang dicadangkan hanyalah merujuk kepada binaan reka bentuk masjid sahaja agar ianya dilihat lebih majmuk. Selama ini tidak ada kedengaran atau timbul sebarang isu pun berkaitan penggunaan Masjid India di Kuala Lumpur, Masjid Kapitan Keling dan sebagainya dikhususkan untuk sesuatu bangsa sahaja. Mengapa pula isu pemisahan bangsa ini ditimbulkan sedangkan Islam memandang semua bangsa sama sahaja.
Mengulas mengenai kenyataan YB Ustaz Shafie Ngah, cadangan membina masjid bercirikan identiti masyarakat Cina ini bakal memecahkan stigma atau kefahaman bahawa "Islam adalah milik Melayu sahaja" dan slogan bahawa "Melayu sepakat, Islam berdaulat" itu tidak betul. Sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah mendaulatkan Islam dahulu dan kesannya semua akan selamat termasuklah Melayu dan semua bangsa-bangsa lain. Malahan makhluk yang lain seperti binatang juga akan selamat apabila kita meletakkan Islam sebagai keutamaan.
Pembinaan masjid ini juga mengambil kira faktor masyarakat Malaysia yang membabitkan pelbagai kumpulan etnik, budaya dan bahasa. Malah, Persatuan Cina Islam Malaysia juga pernah mengumumkan cadangan membina sebuah masjid sendiri di Kuala Lumpur dengan bercirikan seni reka bentuk Cina. Diharapkan masjid ini mampu menjadi pusat pendidikan dan pemahaman Islam dan seterusnya sebagai medan memperluaskan lagi dakwah Islam terhadap etnik dan bangsa lain sesuai dengan slogan "Islam Rahmat Untuk Semua".
Kami dari Dewan Pemuda PAS Kawasan Serdang menyokong penuh cadangan dan saranan YB Ustaz Shafie Ngah agar dibina sebuah masjid yang mempunyai ciri seni bina budaya bangsa Cina di Negeri Selangor ini.
-JAKS-

No comments:
Post a Comment